Tuesday, 25 October 2016

Jemput-jemput Masin aka Jemput-jemput Ikan Bilis



Ini makanan yang paling feberet...tak sah kalau tak buat hujung minggu... hidangan wajib ini... ibu memang dari kecik-kecik dulu memang suka makan jemput-jemput ni... dulu-dulu Cik Aah yang selalu buat... cuma mungkin resepi yang sedikit berlainan... ibu memang suka olah resepi mengikut selera ibu... ayah dan anak-anak pun suka... memang licin kalau makan jemput-jemput ni... sedar-sedar dah abis...

Jemput-jemput Masin

500g tepung gandum
2 labu bawang besar
1 genggam ikan bilis
Garam
1/4 sk serbuk penaik
3 -4 cawan air

Belah 2 bawang besar dan mayang nipis-nipis.  Kisar ikan bilis, campurkan bersama-sama bawang yang dimayang.  Masukkan air,  jangan masukkan air semua dulu.  Kena pandai anggarkan supaya bancuhan tepung tidak terlalu cair.  Masukkan garam dan tepung gandum beserta serbuk penaik dan kacau sebati.  Jika terlalu lembik tambah tepung sedikit, atau kalau agak pekat tambah air.

Panaskan minyak.  Bila minyak dah cukup panas, jemput bancuhan tepung menggunakan tangan supaya jemput-jemput jadi kecil dan senang untuk dimakan.  Bila kita mayang bawang besar yang dibelah dua, bawang-bawang itu akan terkeluar sedikit dari bancuhan tepung dan menjadi garing bila digoreng, itu yang menyedapkan jemput-jemput kita.:)

Gulai Ikan Nasi Berlauk Kelantan...


Dah lama benar gambar gulai ni disimpan... banyak kekangan untuk berblog... so musim2 yang kurang sibuk bolehlah menulis lagi...

Terkadang kalau rasa rindu nak makan nasi berlauk Kelantan, ibu akan masak lauk ni... ataupun kalau malas nak masak... biasanya hujung minggu banyak tugas yang perlu dilaksanakan... so lebih mudah masak macam ni... tiru ala-ala kedai nasi berlauk... hiihiihii...

Gulai Ikan Nasi Berlauk Kelantan

1 ekor ikan tongkol/tuna
1 biji timun
2 cawan santan pekat
4-5 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
sedikit kunyit hidup
1 inci lengkuas
1 sb cili kering dikisar
1-2 keping asam gelugor
Garam
Gula
Perasa
Sedikit air

Ikan disiang dan dipotong beberapa bahagian, serta bersihkan.  Kisar bawang merah, bawang putih, kunyit dan lengkuas.  Masukkan bahan kisar dalam periuk berserta sedikit air, didihkan.  Selepas mendidih, masukkan santan, asam keping, cili kisar, garam, gula dan perasa.  Kemudian masukkan ikan.  Kuah santan ini perlu dikacau (cedok dan tuang) supaya tidak berketul, kalau tidak kuah kita jadi tak cantik.  Satu lagi petua dari Tok Ma, kalau masak ikan perlu masukkan garam dan gula bersama-sama ikan, untuk elakkan hanyir pada lauk kita. 
Bila mendidih, masukkan sayur timun yang dipotong.  Biarkan seketika untuk empukkan timun sambil itu kita terus kacau kuah santan untuk tidak berketul.  Siap untuk dihidang bersama-sama nasi panas dan sambal cili yang nyummy.